Monday, April 19, 2010

Pengenalan Sistem Fertigasi











1.1 Sistem Fertigasi

Fertigasi adalah berasal dari cantuman dua perkataan ”fertilization” dan ”irrigation”. Proses pembajaan dan pengairan terhadap tanaman berjalan serentak. Fertigasi juga merujuk kepada sistem pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah (soiless culture production system). Umumnya hanya beberapa jenis sayur dan buah sahaja seperti tomato, cili merah, timun, zukini, terung, melon dan strawberi sahaja yang sesuai menggunakan kaedah ini.

Tujuan asal kaedah ini adalah untuk mengelakkan tanaman daripada dijangkiti penyakit akar seperti penyakit Phytium, Fusarium, Rhizoctonia dan Penyakit Layu Bakteria yang kebanyakannya dibawah oleh tanah. Untuk membolehkan kaedah ini dilaksanakan, seseorang pengusaha itu mestilah mempunyai rumah tanaman, yang lebih dikenali sebagai Struktur Pelindung Hujan (SPH).

Pelbagai bentuk SPH yang dibina daripada pelbagai bahan yang terdapat di Malaysia. Bumbung SPH mestilah diperbuat daripada bahan yang lut sinar yakni telus cahaya. SPH diperlukan untuk mengelakkan tanaman yang ditanam agar tidak mudah dijangkiti oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk atau buah yang disebabkan oleh percikan hujan. Antara penyakit yang paling dianggap berbahaya ialah penyakit Hawar Pucuk dan Antraknos.

Selain melindungi tanaman daripada dijangkiti penyakit, ia juga bertujuan untuk mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair (terkena air hujan) dan membuatkan pemberian baja tidak berkesan.

Medium tanaman yang paling banyak digunakan ialah ’coconut coir dust’ atau yang dikenali sebagai ’coco peat’. Dalam bahasa mudah ia ialah habuk sabut kelapa. ’Coco peat’ mudah diperolehi jika dibandingkan dengan meduim tanaman komersil lain seperti ’perlite’ ,
’vermiculite’ dan ’maidenwell diatomite’. Medium tanpa tanah lain yang boleh digunakan ialah medium pasir sungai, pasir lombong atau batu kerikil granit (bukan batu kapur).

Fertigasi boleh mengurangkan kos operasi, dan inilah punca utama ia diminati ramai pengguna. Penggunaan sistem fertigasi secara ketara dapat mengurangkan penggunaan air dan baja berbanding dengan cara-cara lain. Kos tenaga kerja untuk mengendalikan sistem ini juga rendah. Penggunaan alat pengatur masa automatik menjamin keberkesanannya.


1.1.1 Kelebihan Sistem Fertigasi

Kaedah ini mempunyai kelebihan tersendiri berbanding kaedah konvensional lain. Di antara kelebihannya ialah :
1. Nutrient lengkap yang diberi, boleh dikawal dari segi jumlah dan kehendak tanaman mengikut peringkat umur pertumbuhan.
2. Media dan persekitaran yang bersih, menjamin dan menghindarkan masalah penyakit.
3. Mengatasi masalah tanah tidak subur, perumah penyakit dan perosak.
4. Hasil yang lebih tinggi kerana tiada pembaziran dan akar menerima nutrient yang secukupnya.
5. Tiada masalah merumpai/ merumput.
6. Kualiti yang lebih baik.
7. Penggunaan air dan baja yang lebih cekap dan ekonomi.
8. Penjimatan tenaga buruh dengan sistem automatik.
9. Kurang penggunaan racun.
10. Jarak tanaman rapat dan diurus secara sistematik.
11. Penyakit tidak boleh berjangkit antara pokok.

1.1.2 Kelemahan Sistem Fertigasi

Kaedah fertigasi juga mempunyai kelemahan tersendiri, antaranya ialah :
1. Kos permulaan yang tinggi kerana 70% daripada kos adalah pembinaan Rumah Pelindung Tanaman (Struktur Pelindung Hujan
+ Kalis Serangga).
2. Perlu pengetahuan mendalam tentang teknologi ini.
3. Perlu pengurusan dan pemeriksaan yang berterusan.
4. Kerosakan pada sistem boleh mengakibat kerugian yang besar.


Perbandingan Antara Sistem Fertigasi Dan Konvensional

Perbandingan Fertigasi Tanah
Jenis Tanaman Tanaman jenis sayurd an buah Semua jenis tanaman
Struktur Pelindung Hujan Wajib ada Tidak perlu
Jaring Kalis Serangga Wajib ada Tidak perlu
Sistem Pengairan Titis dan baja Bebas
Varieti Tanaman Jenis hybrid Sebarang jenis
Air Air bersih Bebas
Modal Tinggi Rendah
Tapak Tanah Mesti rata Tidak perlu rata
Elektrik Mesti ada Tidak perlu
Pengetahuan Teknikal Sangat perlu Perlu
Keadaan Tanah Tidak penting Perlu subur
Kos Operasi Rendah kerana system Automatic Tinggi untuk baja, racun, merumput
dsb.
Risiko Penyakit Rendah Tinggi
Risiko Kekeringan Sederhana Tinggi
Keseragaman Pokok Seragam Tidak seragam

1.1.2 Tanaman Cili

Cili ialah sejenis sayuran berbuah yang popular di kalangan penduduk Malaysia. Ia dipercayai berasal dari Mexico dan Amerika Selatan, tetapi sekarang ditanam di semua negara beriklim tropika. Nama saintifik bagi cili ialah ’capsicum annum’.

Nama biasa ialah cili merah, cili hijau, cili, lada dan cabai, kebanyakannya ditanam di kawasan tanah rendah. Di Semenanjung Malaysia, kawasan-kawasan utama pengeluar cili adalah Perak, Johor dan Kelantan. Keluasan tanaman di semua negeri adalah seperti tercatat di Jadual 1.

Cili mengandungi zat pemakanan seperti dalam jadual 2. Di antara zat pemakanan yang banyak terdapat pada cili ialah karbohidrat (9.5 gram).

Hasil cili boleh dipasarkan sebagai cili segar (hijau atau merah) atau telah diproses dalam bentuk cili kering, cili boh, cili jeruk, serbuk cili dan sos cili.

Oleh kerana cili mengandungi bahan perasa pedas iaitu ’capsaicin’ , sayur ini sangat popular digunakan sebagai bahan perasa pedas dalam kebanyakkan jenis makanan terutama ’sambal belacan’.


Terdapat beberapa jenis kultivar cili yang disyorkan iaitu MC 4, MC 5, MC 11, MC 12 dan Kulai. Ciri-ciri kultivar tersebut adalah seperti dalam jadual 4.

No comments:

Post a Comment